HANYA bermodalkan sebiji batu delima LED, dua lelaki warga Indonesia mampu meraih untung bersih hasil penipuan terhadap 11 mangsa warga emas membabitkan nilai RM118,000 sejak awal tahun ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ashmon Bajah berkata, taktik berkenaan dibongkar anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, susulan aduan diterima daripada mangsa.
Beliau berkata, kedua-dua suspek yang diberkas itu menjaja sebiji batu kononnya boleh mendatangkan kekayaan serta menyembuhkan penyakit.
![]() |
batu delima ini dikatakan mampu menarik duit! |
"Dua lelaki warga Indonesia itu ditahan selepas dikesan menjadi sindiket penipuan batu delima di daerah Kota Tinggi.
"Sindiket ini mensasarkan mangsa kalangan warga emas dan memperdayakan mangsanya dengan mendakwa batu delima itu boleh digunakan untuk upacara 'tarik duit' atau menyembuhkan penyakit," katanya ketika dihubungi di Kota Tinggi, hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan, suspek meyakinkan mangsa dengan meletakkan batu delima itu ke dalam bekas tembaga berisi air.
"Ia kemudian mengeluarkan cahaya kemerahan. Siasatan polis mendapati batu delima itu palsu. Objek berkenaan sebenarnya sudah dipasang dengan lampu LED dan akan menyala apabila diletakkan di dalam air," katanya.
![]() |
Batu delima Asli? |
Beliau berkata, lima biji batu delima palsu dan bekas tembaga, wang tunai, telefon bimbit serta kereta dirampas dari kedua-dua suspek.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan didenda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu tular mengenai satu demonstrasi oleh Inspektor F William Prasad dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Kota Tinggi mengenai penipuan oleh sindiket batu delima.
Video berdurasi kira-kira tujuh minit itu memperlihatkan taktik sindiket memperdaya mangsanya kalangan warga emas di daerah ini.
Info berkenaan sangat berguna kepada orang ramai bagi meminta kedua ibu bapa lebih berhati-hati apabila didatangi sindiket seperti ini.
Dalam demonstrasi itu, sindiket memperdaya mangsa dengan mendakwa batu mustika merah delima itu mempunyai keupayaan dalam menyembuhkan pelbagai penyakit.
Comments
Post a Comment