DATUK Seri Najib Razak hari ini, secara sinis mempertikaikan langkah kerajaan menjenamakan semula Mini RTC dan RTC sebagai Pusat Komuniti Desa (PKD).
Bekas Perdana Menteri itu menerusi Facebooknya berkata, tindakan itu juga seakan cuba menghapuskan peninggalan beliau dan Barisan Nasional (BN).
“Kerajaan hari ini cukup hebat dan istimewa. Mereka ini sarat dengan bakat penjenamaan semula.
“Saya faham mereka mahu menghapuskan apa-apa sahaja peninggalan Kerajaan Barisan Nasional dan saya. Walaupun hanya dari segi nama dan mereka nak ambil kredit,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun bahawa 196 mini RTC dan lima RTC di seluruh negara akan dijenamakan semula.
Ia juga ditambah baik termasuk dijadikan hab program Desa Digital dengan mengekalkan peranannya sedia ada.
Najib yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, beliau tidak berkecil hati jika usaha beliau cuba dinafikan, namun menegaskan kepentingan rakyat mesti diutamakan.
“Tak apalah, nak tukar nama, tukarlah. Yang penting bagi saya, rakyat masih dapat manfaat dan nikmat dari kemudahan yang diberikan melalui semua program dan inisiatif yang kita bangunkan dulu,” katanya.
Untuk rekod, RTC pertama dilancarkan di Gopeng, Perak pada 18 Februari 2012.
![]() |
salah satu RTC di malaysia |
Comments
Post a Comment