MENYASARKAN golongan muda yang aktif, Mercedes-Benz Malaysia memperkenalkan dua varian model kompak A Class baharu dengan pelbagai ciri pemanduan dinamik dan premium.
Varian A 200 hadir dengan enjin 1.3L empat silinder turbocharged menyalurkan 163 kuasa kuda (hp) manakala varian A250 berkuasa 2.0L, juga empat silinder turbocharged menawarkan 224 hp.
Kedua-dua jentera kompak itu dipadankan bersama transmisi automatik 7G-DCT klac berkembar bersama mod pemanduan Eco, Comfort, Sport dan Individual.
Paling menarik, pemandu dapat berinteraksi bersama jentera apabila menyebut ‘Hey Mercedes’ melalui pengenalan ciri Mercedes-Benz User Experience (MBUX) tercanggih dalam kelasnya.
Mercedes A Class menjadi model pertama memiliki ciri unik berkenaan dengan teknologi Kepintaran Buatan (AI) membolehkan sistem memahami perkataan disuarakan pemandu berkaitan infotainmen atau operasi kereta.
Antaranya arahan atau input destinasi ingin dituju, panggilan telefon, pemilihan muzik, kawalan suhu dan lampu.
MBUX boleh diaktifkan melalui skrin sentuh, pad sentuhan pada konsol tengah dan butang kawalan stereng.
Bahagian luaran menerima sentuhan peningkatan apabila gril hadapan trapezoid agresif diapit sepasang lampu utama berbentuk tirus.
Bahagian belakang tidak terkecuali dengan perumah lampu rekaan lebih segar, padanan ekzos berkembar selain garis kontur sisi menyerlahkan ciri sporty.
Padanan rim 18 inci menjadi pelengkap kepada identitinya sebagai jentera kompak premium.
Varian A 250 menerima pakej luar AMG Line dengan bampar dan skirting sisi menarik termasuk rim AMG.
Ruang dalaman kekal mewah apabila panel sentuh bersaiz 10.25 inci menghiasi ruang utama papan pemuka selain corong pendingin hawa berbentuk turbin yang menarik.
Varian A 200 menggunakan kemasan kayu hitam dan balutan kulit Artico sementara A 250 lebih bergaya dengan tempat duduk sport dan stereng balutan kulit.
Dari segi prestasi, A 200 mencatat kelajuan maksimum 225 kilometer sejam (km/j) dan lapan saat untuk memecut daripada pegun sehingga 100km/j.
Manakala A 250 memecut sehingga 250km/j dengan masa 6.2 saat untuk bergerak daripada sifar kepada 100km/j.
Varian A 200 dijual pada harga RM227,888 seunit dan A 250 pula berharga RM263,888 tanpa insurans.
Comments
Post a Comment