Warga Perancis Disahkan Maut

LELAKI warga Perancis yang disyaki terbabit kegiatan keganasan di negara ini meninggal dunia semalam selepas van polis yang membawanya terbabit dalam kemalangan di KM428.3 Lebuhraya Utara Selatan, dekat Bukit Beruntung, Jumaat lalu.
Sumber memberitahu, suspek dikenali sebagai Mickael Alain Louvier meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB) akibat parah pada kepala dan paru-paru.
“Sebelum kejadian, Louvier dan rakannya dibawa ke Perlis bagi membolehkan polis mendapatkan maklumat lanjut berhubung siasatan cubaan kumpulan pengganas menubuhkan sebuah madrasah di Asia Tenggara untuk menyebarkan ideologi Salafi Jihadi.
keratan akhbar utusan malaysia online

suspek berjaya diberkas sebelum ini
“Dia dan lima suspek lain yang juga pelajar di sebuah pusat pengajian Islam di Perlis ditahan pada 24 September lalu di negeri itu selepas risikan polis mengesyaki pusat pengajian berkenaan diasaskan kumpulan pengganas terbabit,” katanya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan Sabtu lalu memaklumkan siasatan polis dan perkongsian maklumat risikan dengan agensi perisikan asing mendedahkan tenaga pengajar asing serta pelajar asing di pusat pengajian Islam itu mempunyai hubungan dengan sebuah madrasah di Dammaj, Yaman.
Madrasah berkenaan diasaskan oleh Syeikh Muqbil bin Hadi Al Wadi’i yang juga seorang tokoh Salafi Jihadi ekstrem.
“Tangkapan di Perlis membabitkan lima warga negara sebuah negara Eropah dan seorang warga sebuah negara di benua Amerika berusia 24 hingga 38 tahun.
“Seorang daripada suspek yang ditahan adalah adik ipar kepada seorang rakyat dari sebuah negara jiran di Asia Tenggara mempunyai hubungan dengan Madrasah Syeikh Muqbil di Yaman dan juga menjalani latihan senjata api.
“Hasil maklumat risikan mendedahkan keenam-enam suspek sama ada mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas Daish atau kumpulan ekstremis lain yang bergerak di negara asal mereka,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay ketika dihubungi NSTP hari ini, mengesahkan kematian Louvier, namun enggan mengulas lanjut.
Dalam kemalangan kira-kira jam 3.30 petang itu, van dinaiki tujuh anggota polis bersama empat tahanan itu terbabas sendiri dipercayai akibat jalan licin di lokasi.
Kesemua yang cedera dihantar ke HSB, Hospital Selayang dan Hospital Kuala Kuba Bharu untuk rawatan.
Van berkenaan dalam perjalanan dari Perlis menuju ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur.
Difahamkan, jenazah Louvier dihantar ke Perlis untuk dikebumikan.

Comments