Juruterbang Bagi Isyarat Kecemasan sebelum terhempas

JURUTERBANG Lion Air JT610 sempat meminta untuk kembali ke lapangan terbang Jakarta beberapa minit sebelum terhempas.
Bagaimanapun, jurucakap Lion Air enggan mengulas perkara itu kerana masih dalam siasatan.
Pesawat Boeing 737 MAX sebelum itu dilaporkan terbang dalam keadaan tidak stabil ketika berlepas dari Denpasar, Bali menuju ke Jakarta malam sebelum kejadian.
Ketua pihak berkuasa lapangan terbang bagi kawasan Bali-Nusa Tenggara, Herson, berkata, juruterbang yang mengendalikan pesawat dari Bali ada menghantar isyarat ‘Pan-Pan’ bagi memaklumkan berlaku masalah teknikal pada pesawat.

Pesawat sama kemudian berlepas ke Pangkal Pinang, Sumatera sebaik mendarat di Jakarta malam sebelum kejadian.
Selepas beberapa minit berlepas, pesawat terbabit dilaporkan terhempas di perairan Indonesia di Karawang pada pagi Isnin.
Tragedi itu mengorbankan 189 mangsa termasuk penumpang dan anak kapal.
Sementara itu, juruterbang pesawat lain yang mahu mendarat di lapangan terbang Denpasar berkata, beliau diminta untuk berpusing di sekitar lapangan terbang berikutan isyarat ‘Pan-Pan’ yang dihantar juruterbang Lion Air yang baru berlepas dari lapangan terbang terbabit.
“Kerana isyarat ‘Pan-Pan’ terbabit, kami diminta untuk menunggu sebentar dan berpusing sekitar laluan udara lapangan terbang,” katanya yang enggan dikenali.
‘Pan-Pan’ adalah isyarat bagi memaklumkan perkara penting, manakala ‘Mayday’ isyarat yang digunakan bagi memaklumkan pesawat berada dalam keadaan kritikal. 

Comments